RINGKASAN LAPORAN

 

Pada 24-25 Jun 2019 yang lalu, seramai 25 orang staf PPKK & ILKKM (Pergigian) yang terdiri daripada ketua- ketua unit telah terlibat dengan lawatan ilmiah ke institusi pergigian di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) & Melaka- Manipal Medical College. Objektif lawatan ini diadakan adalah untuk memahami pelaksanaan latihan bagi auksiliari pergigian dari aspek berbeza, mempelajarai aspek pengurusan klinikal di Kementerian Pertahanan Malaysia dan institusi pergigian swasta serta mnegaplikasikan ilmu yang dipelajari daripada MINDEF dan Melaka-Manipal Medical College.

Pada hari pertama, lawatan dimulakan ke Pejabat Pengarah Pergigian Angkatan Tentera Malaysia di menara PTPTN, Kuala Lumpur. Peserta diberi taklimat oleh Kol (Dr) Normah Bt Samsuri mengenai sejarah perkhidmatan pergigian di dalam Kementerian Pertahanan, visi dan misi, perkhidmatan yang ditawarkan serta program- program komuniti dan ketenteraan yang melibatkan anggota pergigian. Seterusnya, lawatan diteruskan ke Pusat Pergigian Angkatan Tentera, Kem Kementah Kuala Lumpur. Rombongan disambut dan diberikan taklimat oleh Lt Kol (Dr) Muhammad Hidayat Bin Muhamad Daud, Pegawai Pemerintah PGAT kem tersebut. Di antara kandungan taklimat adalah berkaitan perjawatan dan pegangan pasukan, waktu operasi serta jumlah kehadiran pesakit dan taburan kes –kes makmal yang dijalankan di pusat pergigian tersebut. Selain itu, peserta dibawa untuk melihat prasarana dan kemudahan yang disediakan seperti Bilik Rawatan Pakar, Bilik Rawatan Diraja, makmal seramik dan inovasi serta bilik CAD-CAM. Lawatan terakhir adalah ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di mana peserta dibawa meninjau Klinik Pergigian Bergerak bas 2 tingkat serta Poliklinik Pergigian HAT Tuanku Mizan. Taklimat diberikan oleh Brig Jen (Dr) Zulkifli Bin Zainal Abidin iaitu Ketua Jabatan di Poliklinik Pakar Pergigian yang merangkumi jenis-jenis kepakaran yang ditawarkan, taburan kedatangan pesakit dan rawatan yang diberikan serta fasiliti yang disediakan di Poliklinik Pakar Pergigian.

Pada hari kedua, lawatan diteruskan ke Institut Latihan Angkatan Tentera (INSAN), Kem Terendak, Melaka. Anggota rombongan disambut oleh komandan INSAN Kol (Dr) Mohd Izwan Bin Hussin, manakala taklimat dan lawatan institusi diberikan oleh Lt Kol (Dr) Fauziah bt Ismail yang merupakan Ketua Sel Pergigian. Di antara kandungan taklimat adalah visi dan misi institusi, carta organisasi, kursus-kursus yang ditawarkan , takwim akademik dan prasarana yang disediakan di INSAN. Setelah taklimat diberikan, anggota rombongan dibawa melihat fasiliti seperti makmal, bilik pendidikan kesihatan pergigian, perpustakaan dan ruang kuliah di sekitar institusi. Lawatan di Melaka berakhir di Melaka- Manipal Medical College, sebuah kolej swasta yang menghasilkan bakal- bakal pegawai  perubatan dan pergigian. Anggota rombongan disambut oleh Dekan Fakulti Pergigian iaitu Prof Abdul Rashid Bin Hj Ismail dan taklimat ringkas diberikan berkaitan sejarah penubuhan MMMC di Malaysia, struktur program ijazah pergigian, struktur peperiksaan dan penilaian serta prasarana yang disediakan di MMMC ini. Anggota rombongan turut berpeluang meninjau makmal, bilik Rawatan, bilik kuliah dan sebagainya. Lawatan ilmiah ini diharapkan dapat mencapai objektif yang disasarkan selain memberikan gambaran perkhidmatan pergigian yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan dan Institusi Pergigian Swasta serta mengeratkan hubungan dua hala di antara PPKK & ILKKM (Pergigian) dengan institusi luar.

Ke Atas
Pusat Pergigian Kanak - Kanak & Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pergigian) Georgetown, Pulau Pinang